Oleh Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin
Puasa banyak mendidik kita soal keikhlasan. Seseorang mungkin bersolat secara tidak ikhlas atau ingin menunjuk. Namun, sukar untuk orang yang berpuasa secara benar tanpa keikhlasan atau ingin menunjuk.
Jika tidak ikhlas tentu dia akan berbuka ketika orang lain tidak nampak. Namun jika dia berpuasa sepanjang hari dengan tidak merosakkannya, tanpa paksaan, dia mempunyai kejujuran. Maka dalam hadis kudsi, Allah berfirman: Semua amalan anak Adam untuknya, melainkan puasa. Ianya untuk-Ku dan hanya Aku yang membalasnya (riwayat al-Bukhari). Puasa mampu mendidik kita jujur dan ikhlas. Namun, ikhlas walaupun ringan di lidah, amat berat untuk penghayatan. Betapa ramai yang menyebut saya ikhlas, namun dia belum tentu ikhlas. Jika semangat puasa tidak dibawa keluar mengiringi kita di luar Ramadan, pastilah nilai-nilai hipokrit memenuhi ruang kehidupan kita.
Manusia sebenarnya ramai yang tidak mengenang budi. Bukan sekadar seorang tentera, pemimpin ternama lagi berjasa pun, jika hilang kuasa, ramai yang akan lupa. Harta dan kerakusan hidup lebih bermaharajalela Apa yang hendak dihairankan jika manusia melupai jasa sesama manusia, sedangkan kepada Allah pun ramai tidak bersyukur kepada-Nya. Firman Allah: (maksudnya) Dan sesungguhnya Tuhanmu (Wahai Muhammad) sentiasa melimpah-ruah kurnia-Nya kepada umat manusia tetapi kebanyakan mereka tidak bersyukur. (Surah al-Naml: 73).
Jasa
Sebab itu sesiapa yang berbuat jasa agar tidak dilupai, dia mungkin kecewa pada akhir hayatnya. Namun yang berbuat jasa kerana Allah Yang Maha Esa lalu mengharapkan ganjaran-Nya tidak akan merana jiwa. Biarlah manusia melupakan, namun Tuhan tidak pernah mengecewakan hamba-hamba-Nya yang jujur. Maka seorang pejuang mestilah terlebih dahulu membetulkan titik tolak ini dalam hidupnya. Nabi s.a.w. apabila ditanya: "Seseorang yang berperang untuk mendapatkan harta rampasan, seseorang yang berperang agar dipuji dan seseorang yang berperang untuk memperlihatkan kehebatannya, siapakah di antara mereka yang berada di jalan Allah?” Rasulullah menjawab: Sesiapa yang berperang untuk meninggikan kalimah Allah (tertegak), maka dia berada di jalan Allah. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Jika titik tolak ini tidak dibetulkan, hidup kita akan dipenuhi kekecewaan. Seperti seorang ibu atau bapa jika dia membesarkan anak hanya kerana inginkan jasa dikenang, tentu dia akan kecewa, jika yang berlaku sebaliknya. Namun, jika pada awal lagi dia merasakan membesarkan anak dengan penuh tanggungjawab adalah perintah Allah yang mesti ditunaikan, maka apa pun yang berlaku, perasaan kecewa dapat diringankan. Walaupun tidak dinafikan perasaan keinsanan itu tetap akan mengguris kalbu. Namun mengingati keadilan Allah dapat merubat jiwa yang parah.
Justeru, bagi para pejuang umat, atau pemberi sumbangan jasa kepada umat manusia, ubat paling utama untuk dibekalkan dalam jiwa adalah keikhlasan dengan mengharapkan pahala dari Allah dalam semua gerak kerja. Jika tidak kita akan menjadi seperti ulama-ulama pengampu yang berjuang untuk pangkat, nama dan perdampingan dengan orang besar. Apabila semua itu hilang, bicara kekecewaan kedengaran. Mereka bagaikan 'kupang temaga' yang tidak ingin dikutip oleh sesiapa, kerana agenda mereka adalah keredaan manusia. Jika ada yang mempunyai nilai hipokrit yang sama, mungkin mereka mempunyai ruang berkongsi kepentingan.
Demikian juga orang-orang politik, yang kecewa kerana jasa mereka tidak disebut orang. Mereka membawa hati yang gundah dan resah. Jika mereka menjadikan seluruh perjuangan itu ibadah kepada Allah, pasti mereka tidak akan kecewa terhadap Allah. Firman Allah: (maksudnya) Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah agama yang benar (surah al-Baiyyinah: 5). Firman-Nya juga: (maksudnya) Dan katakanlah (Wahai Muhammad): Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) yang mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Dia menerangkan kepada kamu apa Yang kamu telah kerjakan. (Surah al-Taubah: 105).
Perjuangan pula selalu menuntut pengorbanan. Tanpa pengorbanan tidak dinamakan perjuangan.
Kekuatan
Nabi bersolat hari raya di tanah lapang seperti disebut dalam hadis-hadis. Supaya memperlihatkan syiar kekuatan dan kemenangan buat umat ini. Justeru itu, semua insan muslim disuruh menghadiri perhimpunan solat hari raya baginda, termasuk anak dara dan wanita haid. Kata Umm Atiyyah: “Rasulullah memerintahkan kami (kaum wanita) keluar pada hari raya fitri dan adha; termasuk para gadis, wanita haid, anak dara sunti. Adapun mereka yang haid tidak menunaikan solat tetapi menyertai kebaikan dan seruan kaum muslimin.” (riwayat al-Bukhari). Inilah kebaikan solat di tanah lapang. Membolehkan semua pihak menyertai dan lebih meriah serta menggambarkan kekuatan hubungan dan perpaduan kaum muslimin. Namun apabila kita yang meninggalkan sunah ini, ramailah yang tidak dapat menyertai perhimpunan hari raya yang penting itu terutamanya kaum wanita. Satu perkara yang patut diberikan perhatian, hari raya kita selalu digambarkan dengan hari kesedihan bukan kemenangan. Media hiburan turut menggembar-gemburkan keadaan itu. Maka hari raya asyik dikaitkan dengan air mata. Memang, kesedihan kadangkala hadir tanpa diduga. Atau keadaan tertentu menyebabkan kesedihan. Namun mewujudkan suasana dan irama sedih tidak sepatutnya disengajakan dalam menyambut hari raya. Sehingga takbir pun dengan nada kesedihan. Sepatutnya dengan nada yang bersemangat kemenangan.
Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin ialah Mufti Kerajaan Negeri Perlis.
E-mel: moasriza@yahoo.com
Layari http://drmaza.com/
No comments:
Post a Comment